Hikayat Segenta Alam (HSA)

Menghidupkan Semula Kegemilangan Teater Bangsawan Diraja

Hikayat Segenta Alam (HSA) merupakan sebuah produksi Teater Bangsawan Diraja yang diterbitkan oleh Pertubuhan Bangsawan Warisan Moraza Negeri Perak sebagai usaha memartabatkan kembali seni persembahan warisan Melayu. Dipentaskan pada 4 hingga 6 Jun 2023 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak, produksi ini menerima sambutan yang amat luar biasa apabila kesemua tiket habis dijual sepanjang tiga hari pementasan.

Kejayaan ini membuktikan bahawa seni Bangsawan masih mempunyai tempat yang istimewa dalam kalangan masyarakat. Lebih membanggakan, persembahan ini bukan sahaja mendapat sambutan daripada penonton tempatan, malah turut menarik kehadiran pengunjung dari Singapura yang hadir bagi menyaksikan keunikan seni warisan Melayu.

Di bawah arahan Datin Anne Zahurin, Hikayat Segenta Alam tampil dengan pendekatan yang lebih segar melalui gabungan seni Bangsawan tradisional, sinografi yang memukau serta elemen persembahan moden, sekali gus menjadikan produksi ini relevan kepada generasi masa kini tanpa mengabaikan keaslian nilai budaya

Anne Zahurin

2023

PROGRAM UTAMA

SINOPSIS

Berlatarbelakangkan zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah II, Hikayat Segenta Alam mengisahkan perjalanan seorang pahlawan agung Perak, Panglima Segenta Alam atau Megat Terawis, yang terkenal dengan gelaran Dato' Bendahara Garang Perak serta Tok Pawang Besar Gementa Sakti.

Kehebatan ilmu persilatan dan kesaktiannya menjadikan beliau disegani oleh kawan mahupun lawan. Diceritakan bahawa setiap kali tempik saktinya bergema, seluruh alam termasuk pepohon dan tumbuh-tumbuhan tunduk ke bumi.

Apabila Puteri Limau Purut, puteri Sultan Mansur Shah II, diculik oleh Sultan Aceh, Panglima Segenta Alam bersama sahabat-sahabat setianya daripada masyarakat Orang Asli berketurunan Semai dan Temiang memulakan misi yang penuh cabaran demi menyelamatkan puteri serta mempertahankan maruah Kesultanan Perak.

Sarat dengan aksi kepahlawanan, persahabatan, kesetiaan dan pengorbanan, Hikayat Segenta Alam membawa penonton menyelami sebuah legenda yang menjadi sebahagian daripada warisan sejarah Negeri Perak.

Barisan Pelakon

Dokumentasi

Pementasan Bangsawan Diraja

Hikayat Segenta Alam

Cerita Asal : Almarhum Raden Mohd Haslan Myudin Al-haj

Skrip /Arahan : Anne Zahurin

Pengarah Muzik : Azuan Rizal

Penerbit : Pertubuhan Bangsawan Warisan Moraza Negeri Perak

Kerjasama : Majlis Kebudayaan Negeri Perak dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak